Monday, February 23, 2009


Indahnya Ukhuwah kerana Allah

Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah pelbagai bangsa dan agama untuk kita mencari dan mengenal erti kehidupan yang merupakan salah satu hikmah dan kebijaksanaan-Nya kerana dari situ kita dapat mengenal perbagai ragam manusia, budaya adat resam yang diciptakan oleh Allah supaya manusia berfikir akan kekuasaan-Nya.

Begitu juga sahabat yang diciptakan oleh Allah untuk kita. Kadang-kadang kita tidak mengenal erti persahabatan yang sebenar yang sebenarnya ia adalah satu nikmat daripada Allah dalam manisnya berukhuwah. Sahabatlah bagi manusia untuk meluahkan perasaan, untuk meluahkan keperitan walaupun sebenarnya sahabat itu tidak mampu berbuat apa-apa. Berbanding dengan keluarga, kadang-kadang kita lebih banyak masa diluangkan untuk sahabat.

Tetapi adakah kita bena-benar memilih sahabat yang sebenar-benarnya. Kerana silap memilih sahabat punahlah masa depan sama seperti ungkapan yang bersama dengan orang yang memakai wangi-wangian, dia juga akan terpalit bau wangi itu. Ini bermakna pemlihan sahabat mestilah betul. Apabila kita bersama sahabat yang keruntuhan akhlak, mahu tidak mahu kita juga akan terpengaruh dengan sedikit sikap sahabat kita itu tetapi bilamana kita bersahabat dengan alim ulama dan orang yang soleh, maka kita juga akan terikut dengan sikapnya. Walaupun sedikit sikap yang buruk kita ambil tetapi ia akan menjadi tabiat yang sukar untuk kita buang.

Sesungguhnya, Allah mengetahui akan sifat fitrah manusia yang perlukan teman dalam setiap detik kehidupan. Indahnya bilamana bertemu dan berpisah kerana Allah jua apabila kita cinta dan marah hanya kerana Allah diatas dasar keimanan kepada Allah.

Hal ini dinyatakan dalam hadis:

Bermaksud: ”Barangsiapa yang mencintai dan memarahi kerana Allah, memberi dan menolak kerana Allah, maka sempurnalah imannya.”
(H.R. Abu Daud)

Daripada hadith di atas, seorang muslim akan mencintai setiap hamba yang soleh dan akan mengikut sifatnya begitu juga seorang muslim akan membenci orang yang fasik terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya kerana mereka tidak mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Akan tetapi, kefasikan mereka tidak boleh dijadikan penghalang kepada kita untuk bersahabat tetapi memberi peluang kepada kita untuk menegur kesilapan yang dilakukan oleh mereka.

Dalam pemilihan sahabat, ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan dan tujuan persahabatan itu hanya semata-mata kerana Allah. Antara faktornya ialah:

1- Mestilah sahabat itu seorang yang pandai, kerana bilamana bersahabat dengan orang yang jahil kita akan terikut dengan sifat dan sikapnya.
2- Mestilah dia seorang yang berakhlak mulia, kerana bilamana dia mempunyai akhlak yang buruk walaupun seorang yang pandai, mereka akan sering dikalahkan oleh hawa nafsu yang menyebabkan kadang-kadang kita akan terkena dengan kejahatannya sepertimana seorang sahabat yang khianat.

3- Mestilah dia seorang yang bertakwa kerana orang yang fasik tidak akan taat dan beriman dengan perintah Allah. Bilamana dia berbuat jahat terhadap saudaranya, dia tidak akan peduli akan perasaan sahabatnya kerana orang yang tidak taat kepada Allah adalah orang yang tidak akan memperdulikan apa-apa pun.

4- Mestilah dia seorang yang berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah, menjauhi perkara-perkara khurafat dan perkara-perkara bidaah kerana apabila dia melakukan perkara-perkara sedemikian hilanglah kepercayaannya pada Allah yang satu.

Menurut salah seorang yang soleh, ketika mewasiati anaknya, ”Wahai anakku, jika kamu memerlukan teman, maka bertemanlah dengan orang yang bila kamu perlukan bantuan dia akan membantumu, jika kamu menemaninya dia akan setia kepadamu, jika kamu mendapat anugerah diatidak akan meminta. Wahai anakku, bersahabatlah kamu dengan orang yang bilamana menghulurkan kebaikan dia tidak akan meminta dibalas, bila kamu mendapat kebaikan dia mengakuinya, dan jika kamu mendapat kecelakaan dia kan menolaknya. Bersahabatlah dengan orang yang jika kamu berkata kepadanya dia membenarkanmu, jika kamu bersikap bertentangan dengan sesuatu, maka dia mengingatkanmu.

Daripada cerita ini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa bukan mudah untuk mencari sahabat sejati yang boleh membawa kita mencapai kebahagian dunia dan akhirat sebaliknya ramai sahabat yang kita lihat pada hari ini lebih menjurus kepada kehidupan keduniaan semata-mata walaupun sebahagian mereka mempelajari ilmu agama tiak semestinya sahabat itu sempurna. Oleh itu, tanggungjawab kita untuk menyedarkan kembali sikap mereka supaya kembali mengenal Allah yang esa.

Demikianlah, manusia sering menilai persahabatan dari luaran dan bukannya dari dalaman. Justeru kita mestilah pandai dalam memilih sahabat dan semoga ukhuwah itu berpanjangan dunia dan akhirat.






1 comments:

Muhammad said...

Assalamualakum..mashaallah..sungguh hebat ciptaan Mu Allah

ReNunGan...